DINAR - DEEN ATAU NAR?


Assalamualaikum Para Pembaca Budiman,
Sejak kebelakangan ini usaha ‘menjual’ Dinar Emas semakin menjadi-jadi kerana kefahaman orang ramai tentang dinar semakin bertambah. Syukur Alhamdulillah kerana usaha dari pejuang-pejuang Dinar Emas yang hampir sedekad ini berjaya membuka mata orang ramai tentang Dinar Emas.
Tetapi malangnya usaha yang dahulunya bersatu kini menjadi berberapa ‘kuasa besar’ penjual Dinar Emas. Dan yang menyedihkannya lagi, apabila orang ramai sudah mula faham tentang Dinar Emas dan ingin memilikinya, berberapa ‘kuasa besar’ ini berebut-rebut akan permintaan-permintaan yang ada sehingga membuatkan orang ramai keliru siapa yang betul sekarang ini? Pihak ini kata, Dinar Emas merekalah yang betul. Pihak itu kata Dinar Emas merekalah yang betul. Kalau macam itu, siapa yang nak mengaku diri mereka salah? Masing-masing ‘declare’ diri merekalah yang betul dan yang pertama sekali diperkenalkan di Malaysia. Adakah kita lupa segala ‘declaration’ sepatutnya datang dari Allah? Bukankah Allah jua yang ‘declare’ Muhammad sebagai Rasulnya yang terakhir? Bukan itu sahaja, para Wali pun tidak mengaku Wali kerana Allah yang ‘declare’ samada mereka Wali atau tidak. Sedangkan orang-orang terhebat didunia ini TIDAK mendeclarekan diri sendiri, kenapa kita yang hanya manusia biasa nak ‘declare’ diri kita yang betul sekali? Nak declare Dinar Emas kita yang betul sekali dan termurah sekali? Dinar Emas kita terhebat sekali? Atau organisasi Dinar Emas kita yang terhebat sekali?
Bukankah yang lebih penting ialah mengeluarkan Ummah dari sistem Riba? Jadi tidak kisahlah emas yang mana atau berat yang mana atau ketulenan yang mana pun mereka simpan, ianya tetap emas. Kenapa bangsa Barat, Yahudi, China, India, Indonesia dan lain-lain mempunyai denominasi emas yang berbeza tidak hairan pun dengan denominasi emas yang berbeza ini? Kenapa kita yang kecil ini mahu berbalah tentang denominasi Dinar Emas?
Seorang ustadz di sebuah Madrasah di Melaka pernah berkata berhati-hatilah dengan Dinar Emas, kerana ia boleh jadi DEEN iaitu Ugama atau ianya boleh jadi NAR iaitu NERAKA. Waktu itu kami tidak berapa faham maksudnya kerana bagaimana mungkin sesuatu usaha jihad dikatakan boleh membawa ke NERAKA? Tetapi selepas apa yang berlaku sekarang ini, sudah jelaslah maksudnya. Dalam memperjuangkan Dinar Emas, terdapat satu garis halus yang memisahkan kebaikan dan keburukan. Sekiranya memperjuangkan Dinar Emas kearah kebaikan dengan keikhlasan, maka orang tersebut mendapat Ugama yang membawanya ke-SYURGA. Tetapi sekiranya perjuangan Dinar Emas itu disalahgunakan, maka semua usaha tersebut akan membawanya ke-NERAKA.
Kita selalu fikir sekiranya kita berjuang memperkenalkan Dinar Emas kepada orang ramai terutamanya yang berugama Islam, kita sudah menjadi penyelamat Ummah atau penyelamat Agama. Atau kita fikir kita berjaya memiliki Dinar Emas, kita sudah suci bersih di mata Allah. Tidak ada gunanya kita menjual Dinar Emas, tetapi hati dan jiwa penuh dengan hasad dengki atau kita memiliki Dinar Emas tetapi sibuk memikirkan untung dalam bentuk RM-nya. Kalau inilah yang berlaku, Dinar Emas bukanlah memakmurkan Ummah, tetapi menghancurkan Ummah.
Ramai yang akan tertanya-tanya bagaimana Dinar Emas boleh membawa ke-NERAKA? Para pejuang Dinar Emas yang dahulunya ikhlas berjuang kerana Allah sudah lalai dek kerana keuntungannya yang banyak. Kalau tidak kerana keuntungan pun, kerana status dan populariti yang diperolehi apabila menjual Dinar Emas. Usaha yang dahulunya satu padu sudah berpecah-belah kerana masing-masing mahu mengawal pasaran Dinar Emas. Siapa yang dapat mengawal pasaran Dinar Emas, dialah kelihatan lebih berkuasa. Oleh itu masing-masing berusaha melemahkan dan menghancurkan pihak-pihak lain.
Ada yang mengaku dirinya yang paling betul antara semua. Ada yang mengaku dirinya dilantik sebagai ketua atau khalifah dalam Dinar Emas. Ada yang menghantar orang untuk berpura-pura hendak beli tapi tak jadi sebaliknya menyusahkan hidup penjual Dinar dengan berdebat. Ada juga yang melaga-lagakan ahli-ahli dalam pihak lain supaya huru-hara dan berpecah-belah. Pihak yang dahulunya besar, sudah jadi lemah. Dan yang besar tak semakin berkuasa pun. Dan untuk membalas dendam, ada pihak yang mahu perang harga.
Ada juga yang menghantar orang ke-ceramah pihak lain untuk mendapatkan strategi dan maklumat pihak lain. Tak kurang juga yang mengaku dirinya yang pertama di Malaysia tanpa usul periksa siapa yang pertama. Anak murid Dinar Emas yang berpaling-tadah dan memandai-mandai jual dinar untuk keuntungan juga tak kurang banyaknya. Itu belum lagi menyembunyikan maklumat dan memutar-belitkan maklumat dalam Dinar Emas. Dan banyak lagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penjual atau pembeli Dinar Emas. Yang menyedihkan dalam persaingan yang tidak sihat ini, yang menjadi mangsa ialah Umat Islam sendiri. Kami sering mendengar pakcik makcik kehilangan wang kerana melabur berpuluh-puluh ribu RM dalam perniagaan emas yang kononnya menguntungkan. Tak kurang juga ramai yang membeli emas dan perak tanpa sijil yang sah, akhirnya tak tahu nak buat apa dengan emas dan perak tersebut.
Kenapa kita perlu berperang sesama sendiri dalam UGAMA YANG SAMA? Apabila kita melancarkan semua strategi kotor ini, adakah Allah dan Rasulullah akan suka melihatnya? Kenapa kita perlu nak ‘control’ atau monopoli semuanya? Lupakah kita rezeki ditangan Allah? Allah akan memberi rezeki kepada siapa yang dikehendakiNya, jadi kenapa kita nak bolot juga rezeki orang? Rezeki kita tak cukupkah? Dapat pergi keluar negara dan memandu kereta mewah tidak cukup? Dapat status, populariti dan tinggal dirumah besar pun sudah tak mencukupi? Dapat kesihatan yang baik, keluarga yang bahagia dan rakan-rakan yang baik tidak mencukupi sehingga kita sanggup melakukan kerosakan?
Allah berfirman dalam Surah al-Qasas, ayat 77:
“Tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.
Sekiranya Allah sudah melimpahkan rezeki yang banyak kepada kita, apa salahnya kita berkongsi dengan peniaga-peniaga Islam yang lain? Seperti mana krisis ekonomi yang boleh merebak, kebaikan sesama Muslim juga boleh merebak sekiranya kita sanggup berkongsi. Perkongsian kearah kebaikan bukan sahaja mengeratkan silaturrahim, malah boleh memakmurkan ekonomi umat Islam itu sendiri. Itu belum lagi pahala yang dikurniakan Allah. Tidakkah ini yang umat Islam amat perlukan disaat ini?
Tahukah anda, dalam Ayat 34 & 35 Surah Al-Tawbah: Allah berfirman mafhumnya: (Ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab yang pedih. (Iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): 'Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu'.
Jadi adakah kita cuma memikirkan keuntungan diri sendiri semata-mata tanpa memikirkan kebaikan ummah? Perlukah kita mengawal Dinar Emas untuk keuntungan diri sendiri sekiranya ianya membawa kita lebih ke-Neraka? Mahukah kita merasa azab Allah ini semata-mata kerana kita mahu mengawal Dinar Emas ini untuk diri sendiri?
Dalam sebuah buku bertajuk Usahawan: Kaya Wang Kaya Iman yang ditulis oleh Saudara Saat Sulaiman menyatakan usahawan Islam diseluruh dunia bertanggungjawab membangunkan ekonomi Islam dan mengamalkan segala teori dan sistem ekonomi Islam. Tetapi malangnya ramai usahawan Islam tidak mempedulikan ekonomi Islam yang berteraskan bimbingan Al-Quran dan Hadis maka lahirlah banyak masalah seperti monopoli, menyembunyikan produk, hasad dengki, spekulasi harga dan masalah-masalah sosial yang lain.
Dalam zaman permerintahan Khalifah Umar r.a, seorang yang bijaksana dalam ekonomi, terdapat sistem pasar dan pasaran yang hebat. Kita sepatutnya mencontohi sistem pasar tersebut yang mana, beliau mengadakan sebuah pasar yang sesiapa sahaja boleh berniaga dengan halal disitu. Beliau menggalakkan pasaran bebas dan monopoli tersorok adalah dilarang sama sekali. Sayiddina Umar sangat mementingkan sekatan harga. Menjual barang dengan harga yang sangat murah untuk tujuan mnghancurkan pesaing tidak dibenarkan langsung. Ini adalah untuk melindungi peniaga kecil-kecilan yang tidak dapat menanggung kos perniagaan yang tinggi berbanding peniaga besar. (Economic System Under Umar the Great oleh Irfan Mahmud Ra’ana). Undang-undang keadilannya ketat iaitu berdasarkan siapa dulu dia dapat tempat, dan tidak membolot kesemuanya. Sebagai contoh ringkas, penjual A, B, C datang dahulu maka mereka mendapat tempat dalam pasar. Apabila barang A sudah habis, tempatnya digantikan dengan penjual D. Maka penjual A balik rumah dan meluangkan masa dengan keluarga dan beribadat. Urusannya mudah dan tidak ada persaingan tidak sihat kerana masing-masing percaya Allah sudah memperuntukan rezeki masing-masing. Jadi buat apa berebut? Dalam kita berebut-rebut mendapat tempat dalam pasaran Dinar Emas, adakah kita ada masa menjaga diri dan keluarga? Adakah kita ada masa menambahkan ibadah? Adakah kita lebih mengingati Allah apabila berjual beli Dinar Emas?
Surah An-Nur, ayat 37-38, Allah berfirman yang bermaksud:
Ibadat itu dikerjakan oleh orang-orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnianya dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya dengan tidak terhitung.
Dinar Emas akan membawa kita ke-NERAKA kerana sikap kita terhadap saudara seagama. Islam mengganggap seorang Muslim yang lain adalah bersaudara tapi kita PERANG SAUDARA. Kerana dengan PERANG SAUDARA inilah Islam akan bertambah lemah dan mudah dikuasai bangsa lain. Kenapa Yahudi dan bangsa Cina hebat dalam perniagaan, kerana mereka saling bantu-membantu saudara seugama dan sebangsa tidak kira diceruk mana. Sebab itulah bangsa Cina boleh ada pasar atau Chinese Town di kebanyakan negara dalam dunia ini. Menurut Henry Ford dalam bukunya The International Jew, beliau menyatakan seorang Yahudi yang kaya-raya di sebuah negara sanggup membantu Yahudi miskin dalam jumlah yang kecil di negara lain. Kerana persaudaraan yang kuatlah mereka berjaya menguasai ekonomi dunia. Sedangkan kita hendak menjayakan satu pasar Dinar Emas di Malaysia dan Indonesia pun susah kerana PERANG SAUDARA.
Persoalannya, siapakah yang sepatutnya mengawal Dinar Emas? Adakah kita atau Allah? Apakah kebaikan monopoli pasaran Dinar Emas sekiranya ianya menghancurkan saudara kita yang lain? Apakah gunanya kita ‘declare’ kita yang terbaik dan pertama sekiranya kita menghancurkan hati dan perasaan saudara seagama. Apakah gunanya kita perang harga dan kemudian perang saudara sekiranya itu akan membawa kita lebih ke-NERAKA dari ke-SYURGA. Fikir-fikirkanlah...

 Deen @  Nar? 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Komen

blog kengkawan