Di mana datuk nenek moyang kita menyimpan harta benda berharga seperti emas sebelum wujudnya kemudahan bank di Malaysia atau sebelum kewujudan Bank Negara Malaysia atau BNM yang ditubuhkan pada Januari 26, 1959? Adakah kerana kewujudan bank-bank maka tawakkal kita kepada Allah turut berkurang?
Manusia lazimnya mempunyai seribu macam inisiatif dalam menjaga dan mempertahankan harta mereka daripada hilang atau dicuri. Ini adalah lumrah.
Namun janganlah kerana kewujudan kemudahan-kemudahan ini menggugat keyakinan dan menghakis tawakkal kepada Allah. Tawakkal juga menunjukkan tanda kekuatan atau kelemahan iman seseorang mukmin.
Kita tidaklah menentang bank-bank. Kewujudan bank-bank amat banyak manfaatnya kepada kita. walaupun ada juga kes-kes kehilangan wang dan barang-barang berharga di bank.
Sebab itu selalu dikatakan bahawa dunia ini adalah imtihan (ujian) kepada manusia. Selepas berikhtiar maka kita akan bertawakkal kepada Allah dengan menyakini bahawa Dialah yang sebenar-benarnya pemelihara harta kita. Kita hanya berusaha. Jika Dia sudah memelihara maka kalau pintu tidak berkunci pun tiada siapa yang mahu masuk ke rumah kita.
Mengapa bagi sesetengah wanita yang memakai barang perhiasan emas tanpa takut dan segan memperagakan hiasan mereka? Ini adalah disebabkan kebiasaan. Alah bias tegal biasa kata orang. Keyakinan diri akan datang. Padahal mereka lah yang sepatutnya lebih takut dan berhati-hati kerana betapa banyak mata-mata memerhati dan berminat. Bagi orang sudah belajar membeli emas lama-lama mereka akan menambah jumlah simpanan emas mereka. Sebab? Tawakkal makin bertambah. Jadi tak rugilah jika harta bertambah, tawakkal pun bertambah bukan?
Cuma satu nasihat dalam menyimpan emas. Jangan termasuk di kalangan orang yang menggenggam tangan(kikir) hingga zakat pun begitu liat untuk dikeluarkan.